Hukum Pelaburan Amanah Saham Bumiputra telah diperdebatkan sejak sekian  lama dan ia juga mendapat respond berbeza dari majlis Fatwa  negeri-negeri di Malaysia.
Apa yang akan saya nyatakan di sini adalah semata-mata pandangan  peribadi dan ia bukannya fatwa dan hukum yang putus bagi orang ramai. Ia  merupakan satu pandangan yang dilihat dari sudut akademik dan fakta  yang ada disekeliling kita.
1)  Pandangan Yang Mengharuskan
Antara yang mengharuskan adalah Majlis Fatwa Perak, Majlis Fatwa Sarawak dan beberapa tokoh akademik.
Teks keputusan fatwa Perak berbunyi [1] :-
Untuk makluman tuan mesyuarat jawatankuaa syariah perak yang  berlangsung pada 1 Ogos 1992, membuat keputusan berdasarkan pendapat  terbanyak serta dengan alasan-alasan syarak yang dikemukakan adalah  seperti berikut :
"Bermuamalah dengan skim ASN dan ASB adalah harus dan segala keuntungannya berupa dividen atau bonus hukumnya HALAL".
Antara alasan-alasan yang dikemukakan ialah :
1. Penglibatan umat Islam dengan skim ASN dan ASB yang ditaja oleh  kerajaan begi membiak, mengembang dan meningkat ekonomi orang Islam di  Negara ini yang bermuamalah atas jalan ‘Qirad. Apabila didapati  pelaburannya kepada yang halal lebih banyak daripada yang haram hukumnya  adalah HARUS sepertimana nas yang terdapat didalam kitab.
a-      Ihya Ulumiddin
b-      Al-Fawaid al-Janiah Fi Al-Ashbah Wa An-Nazair ‘Ala Mazhab  As-Syafie
2. Kedudukan ekonomi anak bumi khasnya umat Islam di negara ini dalam  keadaan tenat dan sampai ke tahap darurat. Darurat yang dimaksudkan itu  ialah dilihat dari aspek. ekonomi umat secara berkelompok bukan dari  sudut individu.
Teks fatwa Negeri Sarawak pula berbunyi [2] :-
Ahli mesyuarat bersependapat bahawa bermuamalah dengan skim ASN  adalah harus dan hasil yang diperolehi daripadanya (dividen atau bonus)  adalah halal. Amanah Bumiputra ASB pelaksanaannya sama seperti ASN yang  dahulu (sebelum diurusniaga di dalam Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL)  bahkan ia adalah kesinambungan kepada ASN bermuamalah atau melabur saham  kepada ASB adalah juga harus dan hasil keuntungan daripadanya adalah  halal. Tidak harus bagi seseorang itu meminjam wang secara berfaedah  yang bertujuan untuk membolehnya membeli saham (ASB & ASN) 
  | 
| petikan dari surat Majlis Fatwa Selangor | 
 
1.        Fatwa Yang Mengharamkan
Antara fatwa yang mengharamkan adalah Majlis Fatwa Selangor. Teks mereka adalah seperti berikut [3] :-
1. Ahli Jawatankuasa Perunding Hukum Syara' (Fatwa) telah  membincangkan perkara di atas dengan penuh teliti dan panjang lebar dan  mengambil keputusan seperti berikut :
1.1. Zakat Daripada Wang Bonus Dan Dividen ASB
Keputusannya :
" Wang bonus dan dividen yang diterima daripada hasil pelaburan ASB  adalah tidak diwajibkan zakat kerana pelaburan bercanggah dengan hukum  syara' "
1.2. Bolehkah wang digunakan pergi menunaikan Haji ke Tanah Suci Mekah
Keputusannya
" Ahli Jawatankuasa yang hadir bersetuju memberi pandangan bahawa  oleh kerana pelaburan ASB pada masa ini, terdapat pelaburan di  tempat-tempat yang bercanggah dengan hukum syara', maka ia tidak  diharuskan sehingga pihak ASB membersihkan dan tempat-tempat tersebut.
Ahli Jawatankuasa Perundingan Hukum Syara'(Fatwa) yang hadir  bersetuju memberi pandangan bahawa. oleh kerana pelaburan ASB pada masa  ini terdapat pelaburan di tempat-tempat yang bercanggah dengan hukum  syara'. maka ia tidak diharuskan sehingga pihak ASB membersihkan dari  tempat-tempat tersebut.
Demikianlah dua aliran pendapat dan  fatwa berkenaan Amanh Saham Bumiputra, namun dengan hormat kepada  kesemua badan fatwa, secara ringkasnya, saya menyokong pendapat yang  mengharamkan di atas asas berikut :-
  | 
| antara buku pelaburan ASB  | 
1) Aqad Pelaburannya Tidak Jelas 
Aqad pelaburannya tidak jelas dan tidak jelas samda menuruti ‘Qirad'  atau ‘Mudarabah' atau Musharakah. Jika ia menggunakan mudarabah sebagai  yang didakwa oleh Majlis Fatwa Perak pelaburan ini disyaratkan  menentukan kadar nisbah pembahagian keuntungan seperti 80 : 20 dan  sebagainya di awal pelaburan. Namun hal ini tiada dinyatakan langsung di  dalam pelaburan ASB.
Perlu disedari bahawa jika sesebuah aqad itu tidak sah dari sudut syara'  maka seluruh pelaburan adalah batal tanpa mengira pelaburannya  diletakkan di dalam industri halal atau haram. 
2) Jaminan modal atau ‘capital' juga menyebabkan aqad pelaburannya bermasalah dari sudut Shariah.
Termaktub bahawa capital (modal) pelaburan ASB adalah di jamin oleh PNB.  ini bermakna syarat dalam aqad pelaburan ini telah bercanggah dengan  syarat pelaburan Mudarabah dalam Islam yang tidak membenarkan pengusaha  ‘Mudarib" (dalam hal ini adalah PNB) menjamin selamatnya modal para  pelabur. 
Malah menurut mazhab As-Syafie, aqad pelaburan tadi dikira batal. Modal  pelaburan sememangnya tidak boleh dijamin oleh pihak yang menguruskan  pelaburan juga difatwa kan oleh Kesatuan Ulama Fiqh Sedunia (Majma' Fiqh  Islami) atau OIC Islamic Fiqh Academy dalam konvensyen mereka yang  kesembilan dimana mereka telah memutuskan bahawa jaminan modal hanya  dibenarkan jika ia datang dari pihak ketiga (dalam hal ASB, yang  menjamin bukan datang dari pihak ketiga) malah jika ia jaminan dari  pihak ketiga sekalipun Majlis Fiqh Dunia bersepakat mensyaratkan ia  tidak dimasukkan di dalam kontrak pelaburan. Malangnya, klausa ini  dimasukkan di dalam aqad pelaburan ASB yang diwakili oleh borangnya.
Keistimewaan jaminan modal ini adalah tidak sah menurut SELURUH ULAMA  EMPAT mazhab juga. Ini kerana dalam konsep Pelaburan Islam yang dikenali  sebagai Mudarabah dan Musyarakah, tiada sebarang jaminan dari pengusaha  bahawa modalnya terjamin. 
Menurut Mazhab Maliki dan Syafie menganggap kiranya terdapat dalam  kontrak mana-mana pelaburan mudarabah yang mana pihak pengurus menjamin  bahawa modal tidak akan lupus walau apapun keadaan berlaku (samada  akibat kelalaian atau tidak), maka aqad atau kontrak itu terBATAL.  (Hashiyah Ad-Dusuqi, 5/284 ; Mughni al-Muhtaj, As-Syarbini, 3/419 ). 
Manakala menurut Mazhab Hanafi dan Hanbali, syarat seperti ini terbatal  dan kontrak adalah sah (Bada' as-Sanai, al-Kasani, 5/115 ; Al-Insaf,  Al-Mardawi, 5/313) 
Menurut Shariah, hanya dua jenis jaminan modal di izinkan dalam aqad Mudarabah iaitu:- 
a- Jaminan modal dikembalikan jika pihak ‘mudarib' ( pengurus pelaburan)  mengkhinati mana-mana isi kontrak, kecuaian yang jelas dalam pengurusan  dan yang sepertinya. 
b-  Jaminan dari pihak ketiga dan bukannya pihak pengurus pelaburan (mudarib)
3) Dana terkumpul dilabur secara bercampur di dalam industri halal dan haram. 
Pelaburannya bercampur dengan yang haram lebih daripada 30 peratus.
 ASB juga TIDAK PERNAH DIBINCANGKAN OLEH Majlis Penasihat Shariah Suruhanjaya Sekuriti DAN OLEH KERANA ITU, ia tidak termasuk di dalam senarai kaunter yang jelas statusnya. 
Ia bermasalah dari sudut Shariah kerana menurut statistic tahun 2005,  dana ASB telah dilaburkan di beberapa tempat yang haram seperti :- 
1- Sebanyak 37.30 % ke sebuah bank konvensional terbesar.
2- Commerce Asset Holdings Berhad (Konvensional) - 1.11 % 
3- British American Tobacco berhad 1.07 %
Majlis Shariah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia yang bertanggung jawab  dalam mengenalpasti dan meletakkan fatwa berwibawa untuk menentukan  sesebuah kaunter atau dana pelaburan itu halal disertai oleh umat Islam  atau tidak, pernah meletakkan kadar 33 peratus industri haram sebagai  had larangan melabur dalam syarikat atau pengurus dan bercampur halal  haram. 
Saya tidak bermaksud Pelaburan ASB telah dibincang dan ditolak oleh  Majlis tersebut, tetapi ianya belum lagi iktiraf oleh Majlis Penasihat  Shariah, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia yang bertanggung jawab  mengesahkan sesuatu pelaburan itu halal atau tidak. Iaitu, ia belum  dibincangkan dan tidak pula di ‘table' untuk perbincangan mereka. 
Namun, Majlis Penasihat Shariah ini pernah mengeluarkan keputusan garis  panduan atau ukur rujuk berkenaan pelaburan dalam syarikat (secara beli  sahamnya atau lainnya) yang mana perniagaannya bercampur seperti berikut  ( agak panjang dan saya terpaksa menyertakan yang berkaitan sahaja): 
" The SAC (Shariah Advisory Council) at its second meeting on 21st  August 1996, discussed the status of companies running a mix of  permissible and prohibited activities. The SAC resolved that such  companies with some prohibited elements which do not exceed the  benchmark determined by SAC. .............. 
.....iii. The core activiies of the company have importance and maslahah  ( benefit in general) to the Muslim ummah and the country, and the  haram element is very small and involves matters such as 'umum balwa (  common plight ), 'urf and the right of the non-muslim community which  are accepted by Islam.. 
Based on the Prophet SAW word 1/3 or 33.33 % "is enough" and can be used  as a guideline for the basis of formulating a benchmark. The question  is whether this benchmark is suitable to be used for mixed companies,  because it relates to the bequest of property and giving of alms. Even  so, it cannot be denied that it can be used as a benchmark to set the  upper limit of a mixture because an amount exceeding the percentage will  be considered excessive" 
Justeru, jika kita melihat jumlah peratusan pel;aburan ASB di bank  konvensional iaitu 37 peratus, ia telah melebihi ‘benchmark' 1/3 yang  ditetapkan badan berwibawa ini. 
Hakikatnya, masih banyak lagi kaunter atau syarikat yang halal untuk  dilabur oleh dana ASB walaupun mungkin tidak mampu memberikan keuntungan  setinggi bank konvensional ini, yang terpenting biar halal walaupun  sedikit, daripada banyak tapi haram 
Ada sesetengah pihak berkata ianya dibenarkan di atas dasar maslahat  kerajaan untuk beri kekuataan ekonomi dan sebahagian kekayaan negara  kepada bumiputra secara mudah. 
Namun bagi saya ia ternyata hujjah yang longgar. Ini kerana maslahat  yang dicanagkan adalah merupakan kepentingan yang boleh diperolehi  dengan cara halal. Masih banyak tempat yang halal untuk dilaburkan.
Imam Abu Ishak As-Syatibi (790 H), pakar ilmu maqasid Islam silam  meletakkan panduan dan syarat berikut jika ingin mendakwa sesuatu itu  sebagai maslahat:-
1-   Mestilah tidak hanya memandang maslahat duniawi sahaja, bahkan  mesti meneliti           maslahat ukhrawi jua                                    
2- Maslahat hanya diterima pakai dalam hal kebaikan untuk Deenul Islam. 
3-  Maslahat untuk menjaga hak ramai didahulukan dari menjaga hak sekelompok. 
4-   Maslahat mestilah bersandarkan dalil-dalil yang jelas.
Justeru amat jelas tiada maslahah dalam menggunakan suatu kontrak dan  kaunter pelaburan yang haram, sedangkan ianya boleh menggunakan kontrak  Islam Mudarabah, dan boleh memilih kanter halal sahaja, seperti yang di  lakukan oleh Public Ittikal, Unit Trust Islam, pelaburan GIPPS oleh RHB  Asset Management dan banyak lagi. Ia juga memberi pulangan yang boleh  tahan, dan yang lebih penting ianya HALAL. 
Ini bukanlah fatwa tetapi hanya pendapat peribadi atas kajian peribadi,  bagi sesiapa yang menyakini fatwa yang mengharuskan, ia terpulang kepada  anda, dan bagi sesiapa yang menyakini fatwa Selangor dan tulisan ini,  anda juga bebas. 
PINJAM DUIT DARI BANK UNTUK SERTAI ASB        
Walaupun isu di atas masih diperdebatkan oleh mereka yang berkenaan,  namun jika anda meminjam dari Bank Konvensional untuk tujuan menyertai  pelaburan ASB, ia telah disepakati haram oleh Majlis Fatwa Kebangsaan  dan semua mufti-mufti Malaysia. Ini kerana pinjaman wang dari bank  konvensional tersebut adalah riba. Tatkala itu, isu ASB tidak perlu  diambil kira lagi kerana asal cara dapat duit untuk melabur itu pun  sudah haram.
Sekian, Wassalam
petikan dari zaharuddin.net
[1] http://mufti.perak.gov.my/kemusykilan/asn.pdf
[2] http://www.e-fatwa.gov.my/mufti/fatwa_search_result.asp?keyID=952
[3] http://www.e-fatwa.gov.my/mufti/fatwa_search_result.asp?keyID=1155
Jika anda berminat dengan pelaburan emas,sila hubungi..kami sedia membantu anda...
019-4452267 : H.Abdul Wahab(Wabillah)
019-4442267 : Pn.Wan Nodrim
012-4645228 : Tunku Azilah